Wednesday 10 April 2013

Pastikan kerajaan baru dipilih berkualiti - TG Nik Aziz


GUA MUSANG: Seperti juga projek tanam semula, dalam tempoh 25 tahun pokok getah dan sawit perlu ditebang dan diganti pokok baru. Bagi meningkatkan hasil, benih yang ditanam perlu lebih berkualiti.

“Begitu juga hayat kerajaan akan berakhir dalam tempoh lima tahun. Jadi kerajaan yang dipilih mesti mampu memberi pulangan hasil sehingga boleh dibawa ke akhirat kelak,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berucap merasmikan perletakan batu asas pembinaan Pejabat Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) bersebelahan tapak pasar minggu di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Ketua Jajahan Gua Musang, Mat Jusoh Hussin, ketua-ketua jabatan, Ketua Whip MDGM, Hussin Embong dan pemimpin masyarakat.

Menteri Besar berkata, kerajaan pun ada tempoh hayatnya setiap lima tahun sekali, seperti juga pokok getah dan sawit perlu ditanam semula selepas 25 tahun.

Menurutnya tiada kaedah lain yang lebih baik melainkan menggunakan acuan Islam dalam mengurus tadbir kerajaan.

“Kerajaan kena berpandu kepada Islam. Lagi pun sepanjang pentadbiran di bawah dasar Islam sejak 23 tahun, tidak ada pemimpin dan pegawai yang ditangkap kerana rasuah.

“Rasuah boleh membawa seseorang masuk ke dalam neraka. Sedangkan barat cuba memisahkan agama dan politik bagi mengelirukan umat Islam,” ujarnya.

Beliau juga berkata, pelbagai skim berkebajikan diwujudkan kerajaan negeri bagi memanfaatkan kepada rakyat miskin termasuk gerbang az Ziwaaj, al It’aam, Takaful Kifaalah dan pelbagai lagi.

Mat Jusoh sebelum ini memberitahu pejabat MDGM setinggi tiga tingkat dibina dengan kos RM7.9 juta dijangka siap dalam tempoh 15 bulan.


Katanya, pejabat baru akan dilengkap dengan kemudahan kaunter pandu bayar bagi membolehkan orang ramai membayar cukai menggunakan kenderaan.

“Ketika menunggu untuk membayar cukai dalam kenderaan sambil-sambil itu kita boleh membaca akhbar Sinar Harian atau Harakah,” katanya.

Sementara itu di majlis lain di Kesedar Inn Menteri Besar menyaksikan pelancaran dan majlis menandatangani perjanjian pelaburan Kumpulan Sumberjaya dengan Pulai Mining Sdn Bhd.

Perjanjian yang ditandatangani tersebut bagi membolehkan Sumberjaya mengusahakan perlombongan besi dan emas di kawasan seluas 179 hektar di Kampung Pulai, Gua Musang.

0 comments:

Post a Comment

Video Pilihan PAS Subang

Web TV PAS

Web TV PAS
Laman Media PAS

Translate

Konsert Tautan Kasih Di Kota Bahru