Sunday 9 September 2012

Samseng: PKR mahu jumpa Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Pemimpin PKR akan memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berhubung beberapa serangan terhadap program parti itu sejak kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata,  Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution akan menulis surat memohon pertemuan itu diadakan dengan segera.

Semalam, bas Jelajah Merdeka Rakyat yang digunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PKR sekali lagi diserang ketika siri lawatan di Jasin, Melaka.

Bas tersebut dihalang sekumpulan samseng dan dilempar cat merah.

Ianya merupakan serangan kedua selepas kali pertama diserang di Kota Bharu minggu lepas.

Menurut Nik Nazmi, sebelum itu lagi, taktik samseng sama telah digunakan terhadap pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat. 

Ia termasuk serangan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sembrong Johor, kecederaan warga emas di Lembah Pantai apabila terkena batu yang dilontarkan terhadap YB Nurul Izzah Anwar dan pelbagai lagi kejadian lain.

Pun begitu katanya, sekalipun pelbagai laporan polis dibuat, sehingga hari ini pihak polis dilihat tidak serius dalam mengambil tindakan dalam hal ini.

"Datuk Seri Najib Razak, selaku Perdana Menteri terus diam membisu, seolah-olah memberikan lampu hijau untuk gejala samseng ini terus berleluasa.

"Untuk menghentikan kejadian ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution akan menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Di Raja Malaysia Tan Sri Ismail Omar untuk bertemu dan memastikan polis memberikan perhatian terhadap amalan yang mengancam demokrasi negara ini," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Video Pilihan PAS Subang

Web TV PAS

Web TV PAS
Laman Media PAS

Translate

Konsert Tautan Kasih Di Kota Bahru