This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Sunday 24 June 2012

Rakaman manifesto akan jadi macam video Bersih


KUANTAN: Saranan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof untuk semua parti politik memberi kerjasama dan mencuba dulu sebelum mempertikai dan sangsi dalam cadangan untuk menyiarkan manifesto menerusi RTM secara rakaman telah ditempelak PAS.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bahawa kredibiliti BN yang teruk adalah sebab utama mengapa pembangkang menolak cadangan SPR untuk menyiarkan manifesto secara rakaman.

“Rekod BN yang tidak jujur dan beramanah adalah penyumbang terbesar mengapa bermungkinan besar manifesto yang diusulkan secara rakaman akan diputar belit dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagaimana video versi polis insiden Bersih 2.0,” kata beliau.

Tuan Ibrahim berkata soalan yang berlegar di minda rakyat kini ialah apakah jaminan rakaman tersebut tidak diedit dan dipotong mengikut kehendak BN seperti video Bersih 2.0.

“Bahkan perkara ini dijangka berulang di video Bersih 3.0 versi BN,” tambah beliau.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata tindakan membentang manifesto secara rakaman membuktikan kegagalan SPR bertindak dengan tepat dan adil dan memberi tekanan kepada kerajaan BN untuk memberi ruang yang adil kepada pembangkang.

Perkara double standard inilah katanya yang menimbulkan kemarahan rakyat. Bahkan, tuntutan Himpunan Bersih 3,0 salah satunya ialah media yang adil.

“Tindakan menyiarkan rakaman menifesto parti politik tidak lebih sekadar “gincu mulut” untuk mengaburi mata rakyat bahawa kerajaan BN sudah memberi ruang keadilan yang saksama pada pembangkang.

Kenyataan itu bakal menaikkan semula kemarahan rakyat yang hanya menunggu perisytiharan para pimpinan untuk himpunan selanjutnya menuntut pilihanraya bersih dan adil, kerana jelas kerajaan BN ini pekak,” tegas Tuan Ibrahim.

PAS, kata belilau menyokong kenyataan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dua hari lepas bahawa kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR  tidak menepati tuntutan Bersih 3.0.

Mustafa berkata perkara tersebut tidak menepati tuntutan Bersih 3.0 dan sekiranya perkara tersebut dilakukan, manifesto yang diusulkan secara rakaman akan diputar belit dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum itu, Abdul Aziz Yusof berkata ketetapan itu dibuat bagi mengelakkan penyiaran bahan yang mungkin menyentuh peribadi seseorang, mengancam keselamatan dan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti kaum serta agama.

“Jadi, soalan yang ingin ditanya pada beliau ialah bagaimana pula SPR nak bertindak terhadap BN yang berkempen setiap hari dalam media perdana termasuk melancarkan serangan peribadi?

Sudah menjadi tradisi BN yang secara terangan melanggar akta pilihanraya yang hanya membenarkan kempen sehingga jam 12 malam hari terakhir. BN terus berkempen menggunakan alat media kerajaan sampai hari menggundi,” selar Tuan Ibrahim.

PAS, katanya tetap membantah siaran rakaman manifesto dan  menuntut agar semua parti politik diberi ruang berkempen dalam media selama satu jam sehari dan membentang menifesto secara siaran langsung dan membanyakkan ruang debat dan dialog antara parti politik untuk dinilai oleh rakyat.


Bimbang usaha BN swastakan syarikat awam






Tuan,

Saya terbawa untuk menyuarakan kerisauan saya berkenaan perkara di atas.
Seperti yang telah sedia maklum, pihak kerajaan BN sekarang dalam usaha untuk menswastakan beberapa syarikat GLC yang sewajarnya dimiliki dan diuruskan sebaik dan selanjutnya oleh pihak kerajaan Pusat.

Saya berasa curiga seandainya usaha sebegini di buat agar urusniaga seperti UNISEL, SYABAS dan lain-lain seumpamanya akan memberikan keuntungan kepada pihak pemilik BN dan memberikan masalah kepada kerajaan Baru seandainya pihak PR berjaya mengambil alih pentadbiran di Putrajaya.



question mark


Syarikat-syraikat seperti Penang Port, Felda, MAS dan beberapa lagi yang telah pihak MOF usulkan untuk diswastakan adalah sebenarnya suatu persediaan dan strategi untuk mengambil alih syarikat-syarikat tersebut daripada diuruskan oleh kerajaan Baru seandainya ianya benar-benar berlaku.
Saya berharap agar pihak akhbar Tuan dapat dan berminat untuk merungkai akan kebimbangan saya ini kerana adakah niat dan asas penswastaan ini sebenarnya telus demi kepentingan rakyat dan syarikat itu sendiri atau pihak yang disebut tadi sememangnya mempunyai niat dan tujuan seperti yang saya fikirkan.

Semoga sebarang kemusykilan dan kemungkinan ini akan dapat dirungkaikan.

Wassalam dan terima kasih.

Kenapa gas Kelantan naik ke Terengganu?


(Royalti menuntut gas Kelantan di naik ke negeri itu bukannya Terengganu)

KUALA LUMPUR:  Gabungan profesional tuntut royalti, pendaratan minyak dan gas ke negeri Kelantan (Royalti) menuntut penjelasan daripada Petronas berhubung pelaburan sebanyak RM15.6 billion bagi pembangunan Projek Lembangan Melayu Utara (Malay North Basin - MNB) yang menyebabkan gas Kelantan didaratkan ke Terengganu.

Ini kerana, dalam tempoh lima tahun akan datang MNB membabitkan pengeluaran Rizab Gas sekitar 1.7 trillion kaki padu di kawasan perairan negeri Kelantan.

Ia melibatkan Blok PM302, Blok PM325, dan PM326B turut membabitkan pembinaan saluran paip sepanjang 300 kilometer dari pelantar carigali dalam perairan negeri Kelantan ke Kerteh, Terengganu.

"Mengapa gas yang dicarigali dalam perairan negeri Kelantan perlu didaratkan ke Kerteh, Terengganu?" soal mereka.

Pihak Royalti mencadangkan agar pembinaan hab pengumpulan, pemprosesan dan pengangkutan gas serta pembinaan paip saluran dibina bagi didaratkan ke negeri Kelantan kerana jarak blok PM301 yang berada dalam perairan Kelantan adalah lebih dekat berbanding ke Kerteh.

Menurut Setiausaha Royalti, Mohd Hishamuddin Ghazali, jarak kawasan carigali yang dinyatakan (PM302, PM325 & PM326B) ke Pantai Senok, Bachok (kawasan yang dirizab untuk pendaratan gas oleh Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 1990-an) hanya sekitar 140 hingga 160 kilometer sahaja berbanding ke Kerteh sejauh lebih kurang 300 kilometer.

Langkah itu katanya, secara tidak langsung dapat menjimatkan kos yang sangat tinggi dan impak ekonomi yang sangat baik kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan.

"Dimana sekiranya gas didaratkan di negeri ini ia dapat membuka peluang pekerjaan yang bukan sedikit bagi golongan profesional dan juga separa profesional," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, mengambil kira contoh projek pembangunan Loji Pemprosesan minyak dan gas yang di rancang pembinaannya di Pengerang, Johor, dijangkakan akan membuka peluang pekerjaan kepada hampir 4500 golongan profesional.

Manakala, tambahnya bagi golongan separa profsional pula, sekurang-kurangnya 8500 berpeluang untuk berkongsi manfaat hasil dari peluang pekerjaan dalam bidang minyak dan gas dan secara tidak langsung ia akan meningkatkan KDNK negeri Kelantan selari dengan Konsep Federalisme Negara.

Sementara itu, Royalti yang juga dianggotai oleh Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Gerakan Mobilisasi Anak Muda Kota Bharu Tuntut Royalti (Geram), Solidariti Anak Bachok Tuntut Pendaratan Minyak dan Gas (Cabar) dan Cakna UT akan menganjurkan  “pra-Himpunan Royalti: Menjunjung Titah KDYMM Tuanku Sultan Muhammad ke-V”.

Program tersebut diadakan pada 26 Jun ini bermula jam 9:00 di  Kompleks Darul Naim untuk menyerahkan memorandum tuntutan dan plak royalti yang telah ditandatangani oleh Tuanku Sultan Muhammad ke-V dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pihak kerajaan negeri Kelantan.

PRU 5 tahun sekali lalui perlembagaan


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya bersedia meminda perlembagaan supaya parlimen hanya dibubarkan apabila genap lima tahun demi kepentingan rakyat, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

Langkah sedemikian, katanya, boleh mengelakkan kekeliruan rakyat malah membantu mengurangkan politiking ketika bukan masanya.

Parti yang memerintah juga, kata Mahfuz, tidak lagi boleh memanipulasikan waktu pilihan raya untuk kepentingannya sendiri.

Malangnya, kata beliau, Perdana Menteri nampaknya lebih cenderung kepada amalan hari ini di mana Perdana Menteri seolah-olah dibenarkan membubarkan parlimen pada masa yang beliau rasa memberi kelebihan kepada partinya selagi tidak cukup tempoh lima tahun.

"Kenyataan Perdana Menteri tidak selaras dengan kenyataan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed) Nazri (Aziz) di Parlimen yang menyatakan kerajaan sedang melakukan gerakan kecil-kecilan untuk mempertimbang sama ada pilihan raya umum akan hanya diadakan apabila tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun dan bukannya lebih awal," katanya.

Berbeza dengan kenyataan Nazri yang menyatakan kerajaan sedang melakukan gerakan tersebut, Najib masih menekankan kuasa budi bicara Perdana Menteri, kata Mahfuz.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Nazri itu, Najib berkata, perlembagaan negara membenarkan Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dalam masa tidak lewat dari tempoh lima tahun.

"Selagi tak ubah peruntukan Perlembagaan, kita tak boleh kata kita perlu buat lebih awal sebagai satu ketetapan atau sampai penghujung lima tahun sebagai satu ketetapan. Maknanya kuasa budi bicara itu dibenarkan oleh Perlembagaan," kata Perdana Menteri.

Mahfuz menyifatkan kenyataan Najib memberikan gambaran  Perdana Menteri sebenarnya tidak bersetuju dengan gerakan yang disebut oleh Nazri itu.

"Dalam Parlimen, Nazri kata gerakan itu berlaku di dalam kerajaan. Perdana Menteri pula terus menekankan soal budi bicaranya untuk menentukan bila Parlimen dibubarkan.

"Persoalannya, adakah benar wujud gerakan yang Nazri kata berlaku di dalam kerajaan itu dan jika benar wujud, mengapa Perdana Menteri seperti tidak tahu gerakan yang Nazri sebut berlaku di dalam kerajaannya sendiri itu?

"Tak mungkin Nazri berbohong salam Parlimen dan tidak menghormati Parlimen," kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz berharap rakyat sendiri memperhebatkan tuntutan supaya pilihan raya umum akan hanya diadakan apabila tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun dan bukannya lebih awal.

"Tidak cukup sekadar gerakan kecil-kecilan di dalam kerajaan seperi yang Nazri kata," kata beliau.

Occupy Balok-Gebeng tembusi sekatan polis


(Mohamad Sabu, Tuan Ibrahim dan lain-lain di atas satu pentas khas yang dibuat dari lori)

KUANTAN: Seramai 1,000 orang peserta berjaya menembusi sekatan jalan raya polis untuk berhimpun di pintu masuk Zon Industri Gebeng bagi menyatakan bantahan ke atas loji nadir bumi Lynas.

Sekurang-kurangnya tiga sekatan jalan raya diadakan sejak awal pagi ini di sekitar taman industri tersebut bagi menghadapi para peserta yang berhimpun di pantai Balok sejak semalam, lapor Malaysiakini.

Kumpulan yang diketuai timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan ketua lajnah alam sekitar parti itu, Zulkefly Mohd Omar pada awalnya diminta untuk berpatah balik oleh anggota polis yang mengawal di sekatan tersebut.

Walaupun sebahagian daripada kumpulan berkenaan berjaya membolosi sekatan, kumpulan berkenaan akhirnya membuat keputusan untuk duduk di pintu masuk Zon Industri Gebeng bagi menyatakan bantahan mereka.

Beberapa orang turut berucap daripada satu pentas yang menggunakan bahagian belakang sebuah lori.

Antaranya adalah Pengerusi Himpunan Hijau  Wong Tack, Pengerusi bersama Bersih A Samad Said, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya PAS Pahang DatukTuan Ibrahim Tuan Man dan Adun Triang, Leong Ngah Ngah.

Ketua Polis Kuantan Mohd Jasmani Yusof bersama pasukannya kemudian menyekat mereka dan meminta bersurai kerana perhimpunan itu tidak mempunyai permit polis.

Wednesday 13 June 2012

Dewan Rakyat tolak usul bincang kekejaman Syria




KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menolak usul yang dikemukakan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) bagi membincangkan kekejaman pembunuhan yang kini sedang berlaku dengan rakusnya di negara Syria.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut kerana tidak mahu campur tangan dalam kemelut yang berlaku di negara itu.

Menurut Salahuddin, usul tersebut sebagai menyatakan keprihatinan dalam soal kemanusiaan terhadap nasib rakyat Syria yang kini berdepan dengan pembunuhan.

Kini katanya, Presiden Bashar Al-Assad sedang memerangi rakyatnya dengan cara yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila menggunakan senjata berat seperti meriam dan bedilan kereta kebal bagi menghalang bantahan yang sudah sekian lama berlaku.

"Malaysia salah satu anggota OIC perlu memainkan peranan pro-aktif terhadap bantahan kepada pemerintah Syria yang menggunakan kekejaman dan pembunuhan tidak terkawal. Mana mungkin kita negara OIC tidak berbuat apa-apa dalam isu ini," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Beliau juga menafikan perbincangan isu ini sebagai tindakan campur tangan sebaliknya mahu melahirkan pandangan bagi mengelakkan rakyat tidak berdosa terus menjadi mangsa.

Malah katanya, Dewan Rakyat pernah meluluskan dan  membahaskan usul pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai Thailand, di Lubnan dan Jordan antara tahun 2004 hingga 2008.

"Atas isu kemanusiaan usul tersebut diluluskan untuk dibahas, malangnya kali ini kita usulkan isu di Syria yang hampir sama sebelum ini, ditolak," katanya.

Apa yang berlaku di Syria, bagi Salahuddin ianya bertambah meruncing berikutan serangan senjata berat tidak mengenal siapa sasarannya menyebabkan orang tua, wanita dan kanak-kanak turut terbunuh.

Kekejaman ini, katanya perlu dihentikan segera dan Malaysia perlu menghantar signal jelas kepada pemerintah Syria atas kekejaman yang dilakukan.

Jelasnya, Malaysia perlu mengambil pendirian tegas memulakan protes bantahan dengan mengarahkan penutupan Kedutaan Syria di Kuala Lumpur sebagai bantahan awal.

Sementara itu, Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) akan mengusulkan agar Dewan Rakyat turut membincangkan masalah pembunuhan warga Rohingya di Mynamar.

"Kita desak Malaysia sebagai anggota Asean bertanggungjawab membantu menyelesaikan isu tumpahan darah yang berlaku di Myanmar, dalam masa terdekat ini," katanya dalam sidang media bersama.

Adilnya BN: Ambil tanah sekolah beri kepada kroni

KUALA LUMPUR: Apabila soal keadilan yang merupakan undang-undang moral yang tertinggi tidak diamalkan, maka berlakulah sesuatu pengkhianatan.

Lebih malang lagi, pengkhianatan itu dilakukan sebuah kerajaan yang bercogankatakan Tradisi Membela Rakyat apabila tanah yang diberikan kepada rakyat dirampas semula atas sebab politik sempit.

"Adalah tidak adil apabila tanah yang diberikan kepada rakyat bagi membangunkan sebuah sekolah, yang mana sebahagian tanahnya telah dibangunkan diambil dan kemudiannya diagihkan kepada pihak yang mereka suka," tegas Datuk Abu Bakar Chik (gambar bawah), Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, hari ini.

Bercakap kepada Harakahdaily, beliau berkata tanah seluas hampir dua hektar yang diberikan kepada Darul Bayan Development Sdn Bhd (DBDSB) pada 2003 itu, sebahagiannya diambil semula BN Terengganu apabila mengambil-alih negeri tersebut pada 2004.

Katanya, sudahlah sebahagian tanah itu diambil, ia kemudiannya dipecah-pecahkan kepada beberapa lot untuk diagihkan kepada pihak yang disukai mereka seperti anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung atau isteri masing-masing.

Tambah beliau, atas tanah tersebut sudah dibangunkan sebuah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan yang terletak di bahagian belakang, manakala tanah selebihnya di bahagian hadapan dibiarkan dipercayai untuk membina padang sekolah, diambil BN.

"Ia satu langkah yang tidak masuk akal, yang menolak konsep keadilan.  Di mana keadilan apabila tanah yang sudah diberi, diambil semula dan diberikan pula kepada pihak tertentu yang merupakan kroni mereka?" soal beliau.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan BN Terengganu memberikan hakmilik kepada lima orang individu lain, meskipun hartanah tersebut asalnya telah diluluskan oleh Kerajaan PAS Terengganu pada 22 Oktober 2003.

Kes ini telah dibicarakan di mahkamah dan pihak mahkamah telah memberikan kebenaran untuk mencabar kuasa Exco kerajaan negeri Terengganu ini di mahkamah.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut (gambar), berkata amalan merampas tanah yang diberikan kerajaan PAS oleh BN ini sudah menjadi amalan biasa di Terengganu.

Dakwa beliau, selain isu Darul Bayan ini, beberapa kes lain membabitkan rampasan semula tanah di negeri itu sering berlaku selepas BN mengambil-alih pemerintahan daripada PAS pada 2004.

Sambil menegaskan rakyat Terengganu sudah tidak boleh mengharapkan apa-apa dari BN, ahli parlimen Kuala Terengganu itu juga menyifatkan rampasan itu sebagai perbuatan khianat.

Dalam pada itu beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membenarkan DBDSB membuat semakan kehakiman terhadap kes itu merupakan satu petanda baik.

"Ia satu petanda baik, kerana memang ada asasnya.  Pemilikan diberi mengikut prosedur, dan rampasan tersebut dibuat tanpa mengikut lunas prosedurnya," tegas beliau.

Pada 11 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd Yazid Mustafa telah menolak bantahan pihak Peguam Negara yang menentang permohonan DBDSB bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu dan dua yang lain iaitu responden di dalam kes tersebut.

Dengan keputusan ini, mahkamah membenarkan permohonan sekolah agama itu untuk mencabar keputusan sebelum ini yang menghalang mereka mencabar perampasan tanah mereka dan diberikan kepada JKKK.

Pada 25 Mac lalu, DBDSD telah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan responden yang memberikan hakmilik kepada lima orang individu lain meskipun hartanah tersebut asalnya telah diluluskan oleh Kerajaan PAS Terengganu pada 22 Oktober 2003 untuk diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Darul Bayan yang dikendalikan oleh DBDSB.


Sumber

Undi rakyat tumbangkan BN, bukan garam dan botol







KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merasa lucu dengan kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz bahawa ‘garam dan botol’ yang digunakan oleh peserta Bersih adalah untuk menumbangkan kerajaan.


“Bagi DPPWP, alasan Datuk Seri Nazri adalah jawapan ‘paling tidak cerdik’ yang pernah diucapkan oleh seorang menteri kabinet Malaysia,” KATA Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Katanya, ia bukan sebagai justifikasi bagi menggambarkan betapa negatifnya himpunan Bersih 3.0, sebaliknya ia menggambarkan betapa lemahnya intelek seorang pemimpin negara ini dalam menilai perhimpunan tersebut.

Menurutnya, DPPWP tidak boleh membayangkan tahap ketakutan Nazri dan pemimpin Umno yang lainnya berada dalam darjah tertinggi sehingga boleh menafsirkan botol air mineral dan garam sebagai faktor tumbangnya kerajaan.

“Jika ini gambaran mereka, ini bermakna kerajaan pimpinan Umno BN berada dalam keadaan gawat dan amat goyah sehingga botol air dan garam mampu menggoncang kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

DPPWP, ujarnya merasakan Nazri sudah tidak boleh berfikir dengan waras sehingga sanggup berimaginasi dengan sesuatu yang di luar kotak pemikiran rakyat negara ini.

Katanya, umum mengetahui bahawa himpunan Bersih 3.0 diadakan pada waktu tengah hari dan dalam keadaan beratus ribu rakyat hadir menyertainya.

“Sudah pasti peserta membawa air botol sebagai bekalan bagi menghilangkan dahaga dalam cuaca yang amat panas itu.



“Ia juga digunakan bagi merawat jika peserta terkena gas pemedih mata atau air kimia yang dipancutkan oleh trak FRU,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya para peserta himpunan terlebih awal dinasihatkan membawa garam untuk dikemam bagi mengelakkan kepedihan akibat ditembak dengan gas pemedih mata.

Katanya, DPPWP yakin rakyat tidak terfikir pun bagaimana air mineral dan garam boleh dijadikan senjata untuk menumbangkan kerajaan yang gagah di sebalik segala kuasa yang mereka miliki.

“Seharusnya Datuk Seri Nazri Aziz sedar, kerajaan mempunyai segala agensi kerajaan yang patuh dan setia dengan segala arahan pemimpin negara.

“Mereka mempunyai tentera, polis, Rela, Cawangan Khas (SB) dan lain-lain pasukan keselamatan yang jumlahnya amat ramai,” katanya lagi.

Menurutnya, mustahil botol dan garam boleh menumbangkan kerajaan jika pasukan keselamatan ini dikerah menjaga keselamatan pentadbiran negara.

Selain itu, ujarnya kerajaan mempunyai undang-undang yang ketat dan menyebelahi mereka.

Jelasnya, negara ini mempunyai peraturan, perlembagaan dan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Sebenarnya, kata beliau Nazri tidak perlu menuduh ‘botol air dan garam’ sebagai faktor tumbangnya kerajaan.

“Kerajaan akan tumbang hanya melalui undi rakyat dalam PRU ke 13.

“Rakyat kini mampu melihat suasana politik dengan pemikiran yang cerdik dan itulah sebenarnya kegerunan utama BN!,” ujarnya lagi.

Seorang lagi bekas pegawai kanan sertai PAS



(Haji Rahman [tiga dari kiri]  menerima sijil keahlian seumur hidup beliau dari Wahid dengan diperhatikan kakitangan Pejabat Agung PAS)

KUALA LUMPUR: Seorang lagi bekas pegawai kanan kerajaan menyertai PAS hari yang menampakkan kebanjiran mereka ke dalam parti itu tidak boleh disekat lagi.

Hari ini, Hj Abdul Rahman Taib, mantan Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menerima sijil PAS beliau.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Abdul Wahid Endut berkata fenomena bekas Pegawai kanan kerajaan menyertai PAS tidak dapat disekat lagi.

Seorang demi seorang mula tertarik dengan perjuangan PAS yang memartabatkan Islam dengan Melayu menjadi terasnya.

Beliau ditemui ketika menyerahkan Sijil Keahlian PAS kepada Hj Abdul Rahman dalam satu majlis ringkas meraikan beliau di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Sebelum menyertai PAS, Hj Abdul Rahman pernah menyertai UMNO di kampongnya, Bukit Petiti, Manir, Terengganu.

Beliau mula tertarik untuk menyertai PAS setelah pertama kali hadir program Dailog Anak Terengganu di Perantauan (Perantau)  dengan PAS pada bulan Mac, 2012 dan kemudiannya menyertai PAS pada bulan Mei, 2012.  

Turut hadir dalam majlis penyerahan Sijil Keahlian Seumur Hidup PAS adalah kakitangan Unit Keahlian Pas Pusat diketuai oleh Pegawai Keahlian, Puan Noriah Mohd Yunus dan Setiuasaha Perantau, Suhaimi Embong.

Ketika menceritakan mengapa pula beliau menyertai PAS, Abdul Rahman Taib berkata, kerana jawatan kanannya dalam LPP, beliau kerap diundang untuk bersama pemimpin Umno dalam siri-siri ceramah.

Beliau yang berasal dari Kampung Manir berkata, dalam ceramah-ceramah tersebut, apa yang dikatakan oleh pemimpin Umno tidak sama dengan apa yang dilakukan
mereka.


Rawatan Secara ‘Panadol’


Sebagai contohnya, kata Abdul Rahman, pemimpin Umno sebenarnya bukanlah mahu menyelesaikan masalah rakyat tetapi hanya memberi rakyat kesenangan sementara.

“Sebagai contoh, mereka ini(pemimpin Umno) mengatakan kalau kita nak selesaikan satu-satu masalah, buat macam ‘panadol’ tak payah selesai secara serius satu-satu isu itu,

“Contoh kalau ada banjir, kalau ada bantuan beri supaya rakyat seronok sahaja, seronok seminggu dua minggu pun cukup, tak payah bagi mereka (rakyat) kekal senang selama-lamanya,”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Selamat Tinggal Umno di Chukai pada 26 Mei lalu.

Justeru, beliau menyedari perkara tersebut dan ‘berubah’ dari menjadi ahli Umno kepada menjadi ahli PAS dan bersedia memberikan khidmatnya supaya PAS dapat menggantikan Umno di negeri Terengganu pada pilihanraya umum ke-13 akan datang.

“Sebagai makhluk Allah semuanya tidak kekal semua berubah, saya dan rakan-rakan semua berubah, dulu daripada Umno telah masuk PAS,

“Makhluk mesti berubah, cuma Umno sahaja dengan slogannya dulu, kini dan selamanya, seolah-olah tidak berubah, menentang fitrah Allah SWT,”tambahnya.

Sukuk kekal: PAS mohon penjelasan pelaburan KWAP

KUALA LUMPUR: PAS memohon penjelasan kerajaan terhadap tindakan membenarkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melanggan sepenuhnya bahagian pertama RM1.0 bilion Sukuk Juniro Kekal terbitan Malaysian Airline System Bhd (MAS).

AJK PAS Pusat Dr. Dzulkefly Ahmad mempersoal bagaimana pelaburan itu boleh dibuat sedangkan sangat berisiko apatah lagi melibatkan wang pencen rakyat.

"Bon ini tidak ada penarafan, tidak ada jaminan, tiada tempoh masa dan sangat berisiko tinggi.

"Sebab itu kita mintak penjelasan kerajaan kenapa KWAP melanggan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

MAS sebelum ini menerbitkan Program Sukuk Juniro Kekal RM2.5 bilion, dengan bahagian pertama sebanyak RM1.0 bilion dilanggan sepenuhnya oleh KWAP.

Sukuk itu yang merupakan tunggak pelan pembiayaan syarikat penerbangan itu bagi meningkatkan modal asas, diurus oleh Maybank Investment Bank Bhd.

Sukuk kekal ini membolehkan syarikat memperbaiki lembaran imbangan dan nisbah hutang memandangkan ia diperakui sebagai modal ekuiti dalam standard perakaunan Malaysia, dan menyediakan kadar pembiayaan jangka panjang yang munasabah sebanyak 6.9 peratus setahun, katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata ini adalah kali pertama sukuk kekal diterbitkan di negara ini.

Menurutnya lagi, biarpun dibayar dengan kadar 6.9 peratus, namun ianya sangat berisiko apatah lagi ianya tiada tempoh matang dan tiada had masa.

Beliau juga memohon supaya syarat-syarat perjajian pelaburan sukuk itu didedah kepada umum.


Sumber

Kalau sekadar nasihat tak payah guna Majlis Fatwa

KUALA LUMPUR, 13 Jun: "Kalau hendak beri nasihat, tidak perlu sampai guna Majlis Fatwa Kebangsaan," kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mashitah Ibrahim bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hanya memberi nasihat mengenai penglibatan umat Islam dalam demonstrasi jalanan.

Mashitah dilaporkan menafikan bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan sebarang fatwa mengharamkan demonstrasi jalanan di ibu negara pada 28 April lepas.

Sebaliknya beliau berkata ia merupakan kenyataan media yang dikeluarkan sebagai nasihat daripada anggota muzakarah jawatankuasa berkenaan yang bersidang awal bulan lepas.

"Kalau sekadar nak beri nasihat, tidak perlulah melalui Majlis Fatwa Kebangsaan. PAS sangat dukacita dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Justeru beliau menasihati Mashitah agar lebih konsisten dalam mengeluarkan sebarang kenyataan terutamanya melibatkan soal agama.

"Mashitah sepatutnya lebih berhati-hati dalam berpolitik dan mengeluarkan kenyataan.

"Atau mungkin dalam hati kecil beliau sendiri mengakui tuntutan Bersih tapi tak boleh nyatakan pendirian sebab berada dalam Umno," katanya.

Nik Zawawi juga berkata, walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan tidak menyebut secara khusus berhubung himpunan Bersih 3.0, namun kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas Bersih 3.0 diadakan.

"Walaupun kenyataan itu umum, tak sebut Bersih, tapi dalam waktu dan suasana ketika itu, nampak ia dituju kepada Bersih.

"Sepatutnya sebelum fatwa dikeluarkan, kena jelaskan punca fatwa dikeluarkan. Kena jelaskan bila demonstrasi jadi haram, bila harus, bila jadi wajib," tegasnya.

Tambah beliau lagi, kenyataan majlis fatwa itu seolah-olah sebagai cara untuk Umno melepaskan diri.

"Majlis fatwa keluarkan kenyataan mengenai demonstarasi jalanan ketika itu mesti ada kepentingan politik.

"Seolah-olah diperalat Umno supaya mereka boleh lepaskan diri," katanya


Sumber

Sunday 3 June 2012

KAMI tidak mahu tanding pilihan raya




KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) mengambil keputusan untuk tidak menghantar sebarang calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presidennya, Khalid Ismath (gambar), mereka berkata walaupun mengambil sikap tidak bertanding, mereka terus bersama-sama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).


"KAMI masih akan terus bersama-sama SMM dalam koalisi untuk menyuarakan hak dan hasrat mahasiswa yang KAMI telah sepakati. Walaubagaimanapun dalam isu mahasiswa bertanding dalam PRU13 kami mengambil pendirian yang berbeza," kata Khalid dalam kenyataannya.

Mereka memberikan alasan untuk lebih fokus dalam memperjuangkan isu-isu mahasiswa dan rakyat, hak asasi manusia dan perundangan serta bertindak sebagai kuasa ketiga bagi memastikan konsep ‘check and balance’dapat dilaksanakan dalam negara Malaysia.

KAMI juga, katanya, berpaksi kepada perjuangan non-partisan , justeru penglibatan KAMI dalam PRU13 sebagai calon akan menjejaskan teras perjuangan yang didukung oleh front selama ini.

KAMI juga, jelas beliau, mengutamakan idealisme dan aktivisme bagi anak muda dan mahasiswa untuk memastikan urustadbir dalam negara dijalankan dengan baik.

"Jadi, KAMI memikul tugas bagi membangkitkan kesedaran dan kepedulian anak muda," katanya.

Lagipun, katanya lagi, penglibatan sebagai calon dalam PRU memerlukan perancangan dan persediaan yang rapi serta masa yang sangat panjang.

Mereka juga memberikan alasan, timbul persepsi daripada masyarakat bahawa gerakan mahasiswa sudah dijangkiti penyakit YBisme, korupsi, dan mahasiswa tidak lagi akan diberi kepercayaan sebagai third force atau sebagai system check and balance jika bertanding pilihan raya.


Himpunan Hijau “Semarak Perjuangan Serlah Keyakinan”





Himpunan Hijau pada 1hb Jun adalah ijtimak terbesar PAS bagi menggarap gelombang mujahadah seluruh ahli dan jentera parti bagi memperkasakan persiapan menghadapi PRU ke 13.
Himpunan bagi menggantikan muktamar PAS Pusat yang ditangguh ini akan menyerlahkan satu penyataan persediaan jentera parti di semua peringkat.

Himpunan ini akan diadakan dalam suasana semua pihak menggembleng tenaga dan sokongan bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti yang bakal menerajui negara.

Himpunan ini juga satu medan mendekatkan diri sebagai makhluk Allah dengan rayuan, bermunajat dan menghambakan diri kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam PRU ke 13.

Munajat kali ini adalah untuk agama, bukan bagi mencapai kepentingan diri dan peribadi. Munajat yang dapat diambil iktibar dari apa yang dipohon oleh Rasulullah dan para sahabat:

Al-Baqarah: 250

"Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir."

Himpunan atau ijtimak ini mampu menyerlah model himpunan paling baik untuk dinilai oleh rakyat. Rakyat boleh bandingkan dengan Himpunan Sejuta Belia yang dicemari dengan pelbagai perkara tidak senonoh, malah mengakibatkan kemalangan dan kecederaan akibat keghairahan manusia bagi menterjemahkan keegoan dan kesombongan.

Himpunan Hijau ini merupakan himpunan bagi rakyat membanding, meneliti, menilai dan membuat keputusan antara dua himpunan anjuran Umno dan PAS.

Himpunan Hijau ini tidak disediakan pengangkutan, tiada duit poket, tiada penyediaan tempat tinggal - semuanya atas keringat usaha peserta sendiri bagi menterjemahkan kewajipan kita kepada jamaah, pengorbanan  kita bagi mendaulatkan Islam.

Majlis ini tidak dihidang dengan konsert, perlumbaan kereta, artis berpakaian menjolok mata, tiada tarian dan nyanyian, yang ada adalah tangisan takut akan azab Allah, merayu pertolongan Allah bagi memelihara agama dan umat ini.

Himpunan yang jauh dari elemen maksiat dan kemungkaran ini akan menyerlahkan ketinggian akhlak para pekerja parti dan penyokong serta dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat kepada semua yang mengikutinya di sana dan juga siaran langsung di dalam pelbagai saluran media baru.

Himpunan Hijau terdiri dari pelbagai acara, bermula dengan mesyuarat khas pimpinan parti, taklimat tertutup kepada  pimpinan seluruh negara, kuliah dan santai bersama Ustaz Azhar Idrus, disusuli dengan kuliah maghrib yang akan dipimpin oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Kemudian ia akan diikuti dengan Munajat Perdana dan berakhir dengan amanah khas pimpinan tertinggi PAS sebelum ditutupi dengan ikrar seluruh jentera dan ahli parti untuk tekad dan sedia mengharungi sebarang rintangan dan cabaran dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Marilah kita hadir beramai ramai bagi menyatakan kasih kita kepada Allah, kerinduan kita kepada Rasulullah s.a.w, kesungguhan kita menyaksikan kemenangan Islam. Semoga himpunan ini akan menyerlahkan satu perbandingan bagi dinilai oleh rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
31 Mei 2012

Keputusan tragedi berdarah kes Batu Burok esok

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menetapkan esok, 4 Jun sebagai tarikh memberi keputusan terhadap dua tertuduh kes Batu Burok pada 2007 lalu.

Kedua-duanya Muhammad Azman Abd. Aziz, 21, dan Suwandi Ab. Ghani, 38, sebelum ini dituduh menggunakan kekerasan dan sengaja cuba mencederakan seorang anggota polis dalam Tragedi Batu Burok 8 September 2007.

Mereka juga ditembak oleh polis tersebut sehingga salah seorang daripada mereka iaitu Suwandi terpaksa dibedah untuk mengeluarkan peluru yang berada seinci daripada jantung beliau.

Mereka diwakili peguam pembela peguam Mohamed Hanipa Maidin serta Datuk Wan Abdul Muttalib Embong.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hassan menyeru seluruh umat Islam amnya dan ahli PAS khasnya mengadakan solat hajat disemua peringkat bagi mohon keselamatan dan kesejahteraan mereka.


Sumber

Selepas selesai penipuan baru pilihan raya?


KUALA LUMPUR: Selepas penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.

"Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyataannya kepada media.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

 
BILAKAH TARIKH PILIHAN RAYA

Tarikh Pilihanraya Umum ke-13 masih dalam ramalan berbagai pihak.  Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia.

BN yang berketuakan Umno mempunyai kuasa penuh untuk mewajibkan kemenanganya dengan segala cara, daripada menggunakan media sebelah pihak, menabur politik wang rasuah, menyalahggunakan duit negara, memaksa jentera kerajaan, menambah pengundi dengan pelbagai cara, sehinggalah menentukan tarikh pilihanraya.

Seluruh dunia yang menghayati sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat manjadi hakim yang bebas dan adil, hanya badan bebas yang mengendalikan pilihanraya menentukan tarikh pilihanraya.

Bukan sahaja dipilih tarikh paling selesa kepada rakyat dan semua parti politik yang berhak, bahkan tempoh yang lama telah diketahui umum.

Ada kalangan negara telah menetapkan tarikh pilihanraya berikutnya lebih awal, sebaik sahaja  pilihanraya umum selesai diadakan.

Ada juga menetapkan kemudiannya, tetapi tempoh masa yang lama diketahui umum.

Hanya negara yang mengamalkan sistem satu parti sahaja memerintah, seperti negara komunis dahulu dan negara sapertinya, kerajaannya menetapkan pilihanraya dalam tempoh terdekat mengikut keselesaannya boleh mencapai kemenangan dan rakyat lebih berpeluang memilih satu parti yang telah memerintah walaupun banyak melakukan kesilapan.

Di negara kita Malaysia, kerajaan BN memilih cara yang wajib menjamin kemenangan BN selama-lamanya.

Maka kerajaan BN sahaja berkuasa menentukan tarikh setelah segala persediaan untuk kemenangannya diatur.

Setelah selesai mengatur penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.

Termasuk juga peluang musim haji yang menjadi ibadat wajib kepada penganut Islam yang merupakan pengundi terbesar. Hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.

Beginilah nasib rakyat Malaysia sejak dahulu sehingga kini. Rakyat diulit  dengan berbagai lagu dan irama politik murahan, walaupun merosakkan akhlak ditempat yang sudah rosak dan ditayangkan lagu agama ditempat beragama, kerana sifat pragmatik Umno bersama rakannya dalam BN.

Namun kita menyaksikan alam yang bersifat berubah, termasuk alam politik. Sistem kuku besi komunis yang menguasai negara kuasa besar dunia Soviet Union hancur berkecai dan berubah ke arah demokrasi, sehingga negara komunis mengubah pendekatan.

Selepas itu Filipina meninggalkan Marcos dalam kenangan, diikuti oleh Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara Arab yang dikuasai kerajaan tentera yang menetapkan keputusan pilihanraya sebelum pilihanraya lagi.

Bahawa parti kerajaan pasti menang mencapai lebih sembilan puluh sembilan peratus. Namun negara tersebut ikut sama melakukan Islah sistem demokrasinya. Begitu juga yang terakhir di Myanmar.

Kita mengharapkan negara Malaysia yang berslogankan sopan santun, naik turun pemimpinnya juga melalui sopan santun, bukannya dengan cara memalukan. Mereka akan dikenang sejarah oleh generasi akan datang kerana sejarah tidak mampu ditipu dengan apa cara sekalipun.

PAS mengajak masyarakat Islam khasnya membetulkan imej Islam yang dirosakkan oleh Umno, atau tegasnya PAS ganti Umno, dan mengajak masyarakat semua kaum amnya bersama Pakatan Rakyat mengganti Barisan Nasional.

Sekiranya kemenangan berpihak kepada kami, maka segala kerosakan sistem demokrasi yang berlaku wajib diperbetulkan.

Walaupun dimasa depan rakyat menolak PAS dan Pakatan Rakyat dengan jalan yang adil disebabkan kesalahan dan kelemahan pemerintahan, tetapi bukannya dengan cara menipu yang menzalimi diri sendiri.

 
PRESIDEN PAS
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Video Pilihan PAS Subang

Web TV PAS

Web TV PAS
Laman Media PAS

Translate

Konsert Tautan Kasih Di Kota Bahru