Wednesday 13 June 2012

Adilnya BN: Ambil tanah sekolah beri kepada kroni

KUALA LUMPUR: Apabila soal keadilan yang merupakan undang-undang moral yang tertinggi tidak diamalkan, maka berlakulah sesuatu pengkhianatan.

Lebih malang lagi, pengkhianatan itu dilakukan sebuah kerajaan yang bercogankatakan Tradisi Membela Rakyat apabila tanah yang diberikan kepada rakyat dirampas semula atas sebab politik sempit.

"Adalah tidak adil apabila tanah yang diberikan kepada rakyat bagi membangunkan sebuah sekolah, yang mana sebahagian tanahnya telah dibangunkan diambil dan kemudiannya diagihkan kepada pihak yang mereka suka," tegas Datuk Abu Bakar Chik (gambar bawah), Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, hari ini.

Bercakap kepada Harakahdaily, beliau berkata tanah seluas hampir dua hektar yang diberikan kepada Darul Bayan Development Sdn Bhd (DBDSB) pada 2003 itu, sebahagiannya diambil semula BN Terengganu apabila mengambil-alih negeri tersebut pada 2004.

Katanya, sudahlah sebahagian tanah itu diambil, ia kemudiannya dipecah-pecahkan kepada beberapa lot untuk diagihkan kepada pihak yang disukai mereka seperti anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung atau isteri masing-masing.

Tambah beliau, atas tanah tersebut sudah dibangunkan sebuah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan yang terletak di bahagian belakang, manakala tanah selebihnya di bahagian hadapan dibiarkan dipercayai untuk membina padang sekolah, diambil BN.

"Ia satu langkah yang tidak masuk akal, yang menolak konsep keadilan.  Di mana keadilan apabila tanah yang sudah diberi, diambil semula dan diberikan pula kepada pihak tertentu yang merupakan kroni mereka?" soal beliau.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan BN Terengganu memberikan hakmilik kepada lima orang individu lain, meskipun hartanah tersebut asalnya telah diluluskan oleh Kerajaan PAS Terengganu pada 22 Oktober 2003.

Kes ini telah dibicarakan di mahkamah dan pihak mahkamah telah memberikan kebenaran untuk mencabar kuasa Exco kerajaan negeri Terengganu ini di mahkamah.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut (gambar), berkata amalan merampas tanah yang diberikan kerajaan PAS oleh BN ini sudah menjadi amalan biasa di Terengganu.

Dakwa beliau, selain isu Darul Bayan ini, beberapa kes lain membabitkan rampasan semula tanah di negeri itu sering berlaku selepas BN mengambil-alih pemerintahan daripada PAS pada 2004.

Sambil menegaskan rakyat Terengganu sudah tidak boleh mengharapkan apa-apa dari BN, ahli parlimen Kuala Terengganu itu juga menyifatkan rampasan itu sebagai perbuatan khianat.

Dalam pada itu beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membenarkan DBDSB membuat semakan kehakiman terhadap kes itu merupakan satu petanda baik.

"Ia satu petanda baik, kerana memang ada asasnya.  Pemilikan diberi mengikut prosedur, dan rampasan tersebut dibuat tanpa mengikut lunas prosedurnya," tegas beliau.

Pada 11 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd Yazid Mustafa telah menolak bantahan pihak Peguam Negara yang menentang permohonan DBDSB bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu dan dua yang lain iaitu responden di dalam kes tersebut.

Dengan keputusan ini, mahkamah membenarkan permohonan sekolah agama itu untuk mencabar keputusan sebelum ini yang menghalang mereka mencabar perampasan tanah mereka dan diberikan kepada JKKK.

Pada 25 Mac lalu, DBDSD telah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan responden yang memberikan hakmilik kepada lima orang individu lain meskipun hartanah tersebut asalnya telah diluluskan oleh Kerajaan PAS Terengganu pada 22 Oktober 2003 untuk diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Darul Bayan yang dikendalikan oleh DBDSB.


Sumber

0 comments:

Post a Comment

Video Pilihan PAS Subang

Web TV PAS

Web TV PAS
Laman Media PAS

Translate

Konsert Tautan Kasih Di Kota Bahru