Sunday 3 February 2013

Tanah: MTRK ulangi isu lapuk - penduduk


GUA MUSANG: Belum pun selesai isu saman fitnah RM1 juta, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kini mendakwa pula lebih sejuta hektar tanah di negeri ini berpindah tangan kepada syarikat bukan Melayu.

Pada akhir tahun lepas Azmi Che Ali berdepan tuntutan saman ekoran mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Kenyataannya itu disiarkan The New Straits Times (NST) pada 29 Mei 2012 bertajuk “Kelantan Misused RM600m in Loans” dianggap tidak benar dan memfitnah AKSB.

Dan semalam pada demontrasi MTRK Azmi memberitahu sedia diheret ke mahkamah sekiranya ada pihak yang menyamannya.

Pengerusi Majlis Tindakan Dun Nenggiri, Yusoff Mohammad berkata, tuduhan banyak tanah di hulu Kelantan berpindah milik kepada syarikat bukan Melayu adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, tanah yang dibangun dengan tanaman kelapa sawit oleh agensi kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat swasta masih kekal sebagai tanah milik kerajaan.

“Tiada tanah yang ditukar milik seperti didakwa Azmi. Semua projek pembangunan dilakukan secara usahasama dengan agensi kerajaan negeri. MTRK hanya ulangi isu lapuk,” katanya di sini.

Mengenai dakwaan segelintir penduduk Kampung Serian kononnya seluas 160 hektar tanah mereka diambil balik kerajaan negeri katanya juga ia tidak berasas.

Kata beliau kerajaan negeri telah merezabkan seluas 700 ekar kepada penduduk di kampung tersebut dan tidak terbabit dengan pembangunan ladang.

Dalang jual tanah

“Tetapi malangnya sebanyak 20 lot daripada 700 ekar itu telah dijual salah seorang yang dipercayai dalang menganjurkan demontrasi di Serian baru-baru ini.

“Semua orang di sini kenal orang terbabit dan tahu latar belakang hidupnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini sekumpulan penduduk di Kampung Serian yang difahamkan diketuai Mohf Rofi Ismail mendakwa tanah yang diusahakan penduduk sejak 20 tahun lalu ditanam dengan pelbagai tanaman terlepas ke tangan syarikat.

Dan semalam pada demontrasi anjuran MTRK di Pasir Pekan, Azmi yang juga adik kepada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mendakwa lebih sejuta hektar tanah di Kelantan berpindah milik kepada syarikat bukan Melayu.

Yusoff berkata, tuduhan segelintir penduduk Batu 11 Kampung Serian dan MTRK kononnya kerajaan negeri mengambil tanah rakyat hanya mengitar semula isu lama.

Bekas Pengerusi Penyelesaian Tanah Ladang Rakyat dan Penduduk Kampung Serian berkata, mana-mana tanah yang pernah diusahakan penduduk dan terbabit dengan projek Ladang Rakyat sudah lama diselesaikan.

Katanya, hampir dua tahun dan membabitkan beberapa siri rundingan dilakukan Ladang Rakyat serta Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang bersama penduduk yang terbabit.

“Bagaimana saya juga hairan tiba-tiba timbul semula isu lama,” katanya yang enggan mendedahkan identitinya.

Iman Kampung Baru, Mat Mamat berkata, tindakan segelintir penduduk mengadakan demontrasi baru-baru ini hanya sebagai gimik politik bagi memburuk-burukkan kerajaan Kelantan.

“Rakyat di sini sudah lama mengetahui taktik yang dimainkan mereka. Umno ternyata tiada isu untuk diketengahkan bagi mendapat simpati rakyat,” ujarnya.

Fakta tidak lojik

Sementara itu di KOTA BHARU Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dakwaan Azmi kononnya lebih sejuta hektar tanah di Kelantan berpindah milik kepada syarikat bukan Melayu tidak masuk akal.

Ini kerana kata beliau keluasan tanah di Kelantan ialah 1.4 juta hektar.

“Maknanya satu juta hektar sudah jadi milik bukan Melayu dan hanya tinggal 400,000 hektar lagi milik orang Melayu.

“Logikkah congakan Azmi ini. Saya kira beliau sangat berminat dengan angka sejuta sehingga menjadi bahan ketawa orang ramai pula,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Video Pilihan PAS Subang

Web TV PAS

Web TV PAS
Laman Media PAS

Translate

Konsert Tautan Kasih Di Kota Bahru