Sunday 3 February 2013

TANPA NAMA ISLAM, REPUTASI UMNO JATUH JUGA


Pelik benar bunyinya apabila seorang Islam mencadangkan diwujudkan satu peraturan atau undang-undang melarang penggunaan nama Islam oleh sesebuah parti politik. Yang mencadangkan itu pula adalah bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik.

Alasan beliau bahawa parti yang menggunakan nama Islam boleh merosak dan memburukkan kedudukan, imej serta reputasi agama itu sendiri. Alasan ini sungguh dangkal serta tidak masuk akal. Islam itu rosak kerana parti politik tertentu? Cadangan beliau menyerlahkan lagi sikap sebenar beliau yang yang mahu memisahkan antara agama dengan kehidupan termasuk soal berpolitik. Ideologi ini dinamakan sekularisme dan telah ditolak mentah-mentah oleh Islam serta ulama’ seluruh dunia.

PAS adalah parti Islam dan dasar perjuangan PAS adalah Islam. Secara jelas PAS sejak dari penubuhannya sehinggalah sekarang adalah untuk Islam tanpa berselindung sebalik nama lain. Justeru jika tidak dibenar nama Islam, PAS hendak guna nama apa lagi? Islam bagi PAS adalah yang tertinggi dan hidup mati semua pemimpin dan ahli PAS adalah untuk Islam. Tidak ada ‘hidden agenda’ disebalik perjuangan PAS.

Tidak terdengar pula rakyat jijik dan benci kepada Islam hanya kerana PAS. Bahkan keahlian PAS semakin bertambah setiap hari. Malah ramai juga golongan agamawan, profesional, ahli akademik, korporat, bekas kakitangan tinggi kerajaan, sehinggakan selebriti popular turut bersama PAS. Sehingga kini keahlian PAS mencecah sejuta orang. Dengan nama Islam juga PAS semakin berkembang sehingga diterima baik oleh non Muslim. PAS berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri daripada bukan Islam. Jika PAS telah merosakkan reputasi Islam, mustahil PAS semakin diterima oleh semua golongan ini.

Sebaliknya, UMNO yang selama ini tidak pernah menggunakan nama Islam pula jatuh imej dan reputasinya. Tanyalah anak muda sekarang, siapa yang teringin nak pakai baju berlambang UMNO? Siapakah yang masih berbangga dengan bendera dan logo UMNO untuk dihurung ke sana sini? Tanpa upah, masih ada lagikah mereka yang mahu bekerja untuk UMNO?

Rosak sesebuah parti bukan kerana nama nya, tetapi individu dan pemimpin yang ada dalamnya. Budaya rasuah, kronisme, membolot kekayaan negara, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, skandal seks, fitnah hatta sampai ke tahap pembunuhan. Pemimpin manakah yang pernah dikaitkan dengan semua skandal tersebut dan dari parti manakah pemimpin tersebut? Tanpa menggunakan nama Islam pada parti sekalipun, akhlak dan reputasi pemimpin Islam yang rosak tetap akan merosakkan agama Islam itu sendiri.

RIDUAN MOHD NOR

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Video Pilihan PAS Subang

Web TV PAS

Web TV PAS
Laman Media PAS

Translate

Konsert Tautan Kasih Di Kota Bahru