Wednesday 27 March 2013

Dekati pengundi Melayu dengan program dakwah

LENGGONG: PAS Lenggong menggunakan pendekatan dakwah dan program-program keagamaan dalam mendekati pengundi Melayu di seluruh kawasan Parlimen itu.

Yang Di Pertua PAS Kawasan Lenggong, Razman Zakaria(gambar) menjelaskan melalui program bentuk dakwah ini telah memberi kesan kepada pengundi Melayu untuk bersama-sama Pakatan Rakyat.

Menurutnya lagi, PAS juga telah menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kebajikan Islam Lenggong (Perkisa) yang bertindak untuk melaksanakan pelbagai program dakwah tersebut.

"Di sini kita memberi penekanan khusus kepada pengundi Melayu dengan mengadakan program keagamaan.

"Ini adalah cara terbaik untuk kita menyampai maklumat melalui cara yang dibenarkan Islam kepada seluruh pengundi Melayu,"jelasnya.

Kata beliau lagi, masyarakat Melayu di sini mula menunjukkan sikap mahukan perubahan politik pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Biarpun pada 2008, majoriti yang diperolehi Umno agak besar, namun bibit-bibit perubahan dan sambutan terhadap program Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini menampakkan bahawa suasana politik di sini sudah berubah.

Dalam masa yang sama, beliau juga memberitahu bagi golongan pengundi muda mahupun bukan Melayu turut diberi perhatian yang khusus.

Jelasnya, mereka telah menubuh NGO, Gabungan Anak Muda Lenggong (GAML) untuk menarik golongan itu bersama PAS dan Pakatan Rakyat.

NGO itu lebih berperanan kepada mendedahkan maklumat berkaitan rekod penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh Umno sepanjang mereka memerintah Perak.

"Melalui GAML kita bawa anak muda bersama-sama kita untuk mereka melihat dengan mata mereka sendiri penyelewengan yang dilakukan Umno.

"Sebagai contoh isu-isu berkaitan tanah kerajaan yang menjadi milik pemimpin Umno kemudian dijual kepada kroni, tindakan ini memberi kesan kepada golongan muda," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Video Pilihan PAS Subang

Web TV PAS

Web TV PAS
Laman Media PAS

Translate

Konsert Tautan Kasih Di Kota Bahru