Wednesday 27 March 2013

PRU13: Tempoh 10 minit macam 'ajak-ajak ayam'


KUALA LUMPUR: PAS menghargai keputusan kerajaan memberikan ruang kepada parti politik muncul 10 minit melalui Radio Televisyen Malaysia untuk menjelaskan manifesto pilihan raya, namun melihatnya tidak lebih sebagai 'ajak-ajak ayam' sahaja.
Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan terbaru kerajaan itu hanya sebagai cuba menunjukkan 'pembaharuan' bahawa kerajaan BN mengamal kebebasan media.
Bagaimanapun kata Tuan Ibrahim, dengan tempoh diberikan hanya 10 minit, pembaharuan itu dilihat satu perkara yang mengaibkan.
"... jika itu satu pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan ia adalah perkara yang mengaibkan. Tempoh 10 minit itu hanya sebagai ajak-ajak ayam dan tidak kembali kepada kebebasan media yang dituntut Bersih.
"PAS menghargai ruang itu, namun masa perlu dipanjangkan, sekurang-kurang setengah jam untuk memberi penjelasan kepada rakyat dan membolehkan mereka menilai," katanya dipetik Sinar Harian Online.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam bahawa semua parti politik akan diberi ruang 10 minit untuk memperkenalkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) masing-masing.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, PAS masih belum membincangkan tawaran itu sama ada mahu menggunakan platform tersebut atau tidak.
"Setakat ini, PAS masih belum ada keputusan dan perlu berbincang dan akan dimaklumkan kemudian," katanya.
Pandangan serupa turut dikongsi PKR yang mendakwa kerajaan tidak bertindak telus dalam soal memperuntukkan ruang masa tersebut.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR akan mengadakan perbincangan untuk memutuskan keperluan Pakatan Rakyat menggunakan ruang 10 minit yang diberikan kerajaan.
Menurutnya, tempoh masa dan syarat yang diumumkan Rais kelmarin seperti "memperbudakkan" parti politik terutamanya Pakatan Rakyat.
Beliau berkata, pada umumnya RTM adalah pro Barisan Nasional (BN) yang digunakan 24 jam sehari untuk menyiarkan makluman termasuk manifesto parti kompenan perikatan itu.
"Kita masih tak ada keputusan, kita perlu berbincang untuk lihat sama ada itu menjadi satu keperluan kita untuk siarkan manifesto atau tidak.
"... tempoh masa 10 minit dengan syarat yang tidak relevan, ini untuk apa? Untuk memberitahu dunia media kita bebas dan memegang prinsip demokrasi?
"Rais perlu mempertimbangkan semula, jangan memperbudakkan kita," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Video Pilihan PAS Subang

Web TV PAS

Web TV PAS
Laman Media PAS

Translate

Konsert Tautan Kasih Di Kota Bahru