Thursday 12 April 2012

PM ... Kontroversi


Kontroversi PM, Altantuya, Scorpene belum berakhir






KUALA LUMPUR, 12 April: Kontroversi membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peranan penterjemah Mongolia, Altantuya Shariibuu dalam pembelian kapal selam Scorpene belum berakhir.

Kini, satu artikel tulisan John Berthelsen, Gun Begins to Smoke in Malaysian Sub Scandal mendedahkan beberapa fakta kontroversial di sebalik transaksi pembelian kapal selam Scorpene. 

Antara lain artikel tersebut turut melontarkan beberapa fakta melibatkan salah laku dan penyelewengan yang ketara dalam transaksi berkenaan, sekaligus memalitkan imej Najib yang menjawat jawatan Menteri Pertahanan pada ketika itu.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin(gambar), dalam tulisan yang disiarkan di laman web Asia Sentinel, 5 April lalu, mendedahkan dalam transaksi yang bernilai US$1.2 billion tersebut, fakta didedahkan melalui proses penyiasatan percaya bahawa sekurang-kurangnya sejumlah €36 juta (RM144 juta) yang disalurkan melalui sebuah syarikat yang berpusat di Hong Kong, Terasasi (HK) Ltd yang dikendalikan oleh orang kanan Najib iaitu Abdul Razak Baginda, berakhir di 'poket Najib'.

Syarikat Terasasi itu yang bertempat di daerah Wan Chai, Hong Kong, tambah Shamsul turut dikendalikan oleh bapa kepada Razak Baginda iaitu Abdul Malim Baginda.

"Pendedahan ini jelas menggemparkan, di saat fakta-fakta seumpama ini digelapkan di dalam media Malaysia dan hanya diperoleh melalui siasatan media antarabangsa yang mempunyai akses siasatan yang kredibel," tegas beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

Ditambah dengan pengakuan bapa kepada mendiang Altantuya, Dr. Shaaribuu Setev bahawa beliau pernah melihat gambar di antara mendiang Altantuya, Razak Baginda dan Najib, Shamsul menegaskan ia seolah-olah menggambarkan bahawa keterlibatan Najib di dalam skandal itu sudah tidak boleh diragui lagi.

Malah, AMK melihat ini merupakan satu tamparan kepada Najib dalam keadaan beliau telahpun bersumpah di Masjid Jamek Guar Perahu pada Ogos 2008 sewaktu kempen Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh sedang dijalankan.

"Fakta-fakta yang diperincikan oleh Asia Sentinel ini mempunyai kredibiliti dan harus dinafikan oleh Najib secara berfakta untuk membersihkan nama beliau selaku Perdana Menteri Malaysia," tegas beliau lagi.

Justeru, AMK mencabar Najib untuk membuat penafian terbuka secara spesifik dan menyaman John Berthesen serta Asia Sentinel sekiranya ia jelas merupakan satu fitnah semata-mata.

AMK berkata, sebarang dolak dalih yang bakal beliau berikan bersabit hal ini, hanya memburukkan lagi imej beliau di sebalik penafian dan sumpah yang telah beliau lakukan sebelum ini. 

"Dan adalah malang bagi Malaysia untuk dipimpin oleh pemimpin yang hanya mampu membuat penafian tanpa sebarang susulan fakta," tegas Shamsul.



0 comments:

Post a Comment

Video Pilihan PAS Subang

Web TV PAS

Web TV PAS
Laman Media PAS

Translate

Konsert Tautan Kasih Di Kota Bahru