Thursday 26 April 2012

Pendidikan percuma di Selangor, AMK jumpa MB

SHAH ALAM: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memohon untuk bertemu dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membincangkan wacana pendidikan percuma dalam konteks negeri itu.

"AMK berhasrat mengadakan satu kunjungan hormat untuk bertemu YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan tujuan berbicara dan menyampaikan sumbang saran tentang dasar pendidikan percuma, khususnya di negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat," kata Setiausaha AMK, Julailey Jemad dalam satu kenyataannya.

Tindakan ini, katanya, sesuai perkembangan hari ini yang melihat isu pendidikan percuma cukup luas dibicarakan. 

Bukan sahaja di peringkat kerajaan pusat dan negeri-negeri, malah wacana ini dibicarakan pada peringkat akademik, Universiti dan para ibu bapa di seluruh negara, katanya.

Sebelum ini, apabila Pakatan Rakyat membicarakan soal pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN, pemimpin Umno menempelak Pakatan dengan meminta negeri-negeri Pakatan melaksanakan dahulu cadangan itu.

"AMK melihat isu ini sebagai urusan yang wajar disegerakan untuk membuktikan bahawa pentadbiran dan tatakelola kerajaan Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya, walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan," kata Julailey.

Menurutnya, satu atu surat kunjungan hormat telah dihantar ke Pejabat Menteri Besar. 

AMK dengan penuh harapan agar Khalid mempunyai ruang untuk berdiskusi, kata Julailey.

AMK, katanya,  percaya dan yakin, setelah empat tahun mentadbir negeri Selangor Khalid mampu sekali lagi mendepani isu ini dengan merangka satu dasar pendidikan percuma, khususnya di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dimiliki kerajaan negeri Selangor.

"Kami, di peringkat AMK mewakili golongan anak muda akan sentiasa berada di belakang kepimpinan YAB dalam meneruskan agenda merakyatkan ekonomi dan pendidikan di negeri Selangor," katanya. 

Oleh yang demikian, Selangor mampu menjadi model dan peneraju pendidikan percuma di peringkat nasional, kata beliau.


Sumber

0 comments:

Post a Comment

Video Pilihan PAS Subang

Web TV PAS

Web TV PAS
Laman Media PAS

Translate

Konsert Tautan Kasih Di Kota Bahru